‘Car Boot Sales’ di pekarangan Stadium Darul Aman
Khamis, 26 Ogos 2010 12:38 Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah akan mengadakan ‘Car Boot Sales’ iaitu jualan cara bonet kereta di pekarangan Perbadanan Stadium Darul Aman bermula pada 2 Oktober 2010, mulai jam 8 pagi.
Program itu dianjurkan bersama Perbadanan Stadium Darul Aman dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad, program itu terbuka kepada orang ramai yang ingin menjual barang-barang terpakai dan juga barang-barang yang ingin diusahakan sendiri.
“Setakat ini, lebih kurang 30 penjaja-penjaja kecil bersedia untuk terlibat dalam Car Boot Sales itu dan taklimat mengenai program itu akan diberikan pada 18 September 2010, jam 3 petang di Pejabat Perbadanan Stadium Darul Aman dan pendaftaran adalah percuma serta terbuka kepada orang ramai,” katanya.
Beliau menjelaskan, keluasan tapak yang diberikan itu ialah 10 kali 15 kaki persegi di mana program itu akan diadakan pada setiap hari Sabtu, jam 8 pagi hingga selesai jualan oleh individu-individu.
Abdul Ghani memberitahu, tujuan program itu diadakan adalah untuk memberi peluang kepada mana-mana individu yang ingin menjual dan memasarkan segala jenis barangan secara terbuka di tempat yang dikhaskan.
“Kaedah ini adalah sama seperti yang pernah dilakukan di United Kingdom di mana orang-orang perseorangan yang ingin menjual barang-barang terpakai yang tidak diperlukan lagi tetapi masih boleh digunakan atau barang-barang yang diusahakan untuk dijual dan dipasarkan kepada orang ramai,” jelasnya.
Beliau percaya budaya menjual barang terpakai itu perlu diterapkan pada masyarakat agar tidak wujud amalan membazir dengan dibuang begitu sahaja kerana ia masih boleh dipakai dan boleh dimanfaatkan oleh orang-orang yang memerlukan dengan bayaran yang murah.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai program itu, bolehlah menghubungi Perbadanan Stadium Darul Aman di talian 04-7337313 atau UPEN di talian 04-7744382.
Saturday, August 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment